Wednesday, 11 November 2009

Pendarahan Semasa Hamil dan Air Ketuban

Jazakallah Ummu Abbas. Link.

Tanggal 30 Ogos 1999, saya bertolak pulang dari Sg Koyan menuju Kota Bharu. Suami mahu saya melahirkan anak di Kelantan. Jangkaan bersalin ialah 4 September 1999. Pada masa itu saya telah mula merasa sakit perut sedikit tanda akan bersalin. Namun lazimnya, anak sulung lambat juga akan keluar. Kedudukan kepala bayi yang masih tinggi dan sakit yang jarang-jarang memberi lesen untuk kami pulang walaupun dilation sudah ada. Kalau tidak silap baru 1 cm waktu itu. Ia memakan masa untuk berganjak ke 2 cm dan 3 cm.
Di pertengahan jalan, kami singgah di Cuchuh Puteri, Kuala Krai kerana ada program bersama masyarakat di situ. Suami saya turut serta memberi khidmat percuma kepada penduduk tempatan. Sakit masih berulang jarang-jarang sedangkan saya bersama orang kampung.
Seusai program, kami singgah di rumah seorang sahabat di kuarters Hospital Kuala Krai. Sebelum bertolak pulang, suami memeriksa lagi, tiba-tiba pendarahan berlaku. Saya solat seperti biasa kerana ia dikira darah fasad (rosak) atau istihadah. Darah itu cair dan berwarna merah terang. Ia bukan keluar berterusan. Bagi sesiapa yang mengalami perkara yang sama ketika hamil, hendaklah solat walaupun sudah ada tanda-tanda akan bersalin.
Bagaimana pula dengan wanita yang mengalami pendarahan di tengah-tengah kehamilan? Apakah hukum darah tersebut? Jom lihat serba sedikit huraian mengenai hal ehwal wanita bersalin.
Jenis Pendarahan Semasa Hamil
Darah yang keluar semasa hamil dikira sebagai istihadah. Darah bercampur lendir ketika proses hendak bersalin juga dikira istihadah atau darah fasad (rosak).
Nifas ialah darah yang keluar dari rahim selepas melahirkan anak. Bagi mazhab Syafie, dikira darah nifas jika bersalin anak yang hidup, mati atau keguguran sama ada bersalin cara biasa atau pembedahan.

Nifas dari Sudut Saintifik
Ibu-ibu sudah tentu pernah mengalami rasa sakit seperti hendak bersalin sedangkan bayi sudah pun keluar. Apakah sebenarnya yang berlaku di dalam rahim kita?
Pada peringkat akhir proses kelahiran bayi, otot-otot rahim mengecut untuk menolak keluar keseluruhan badan bayi. Akhirnya kelahiran sempurna berlaku. Pengecutan seterusnya berlaku menyebabkan tertanggalnya uri dari dinding rahim. Sejurus berlakunya kelahiran bayi, pengecutan otot-otot rahim menyebabkan kontraksi berlaku pada otot-otot salur darah arteri lalu menekan salur-salur darah di uri yang akhirnya menyebabkan uri terpisah dari dinding rahim (desidua). Aliran darah pula berlaku hasil dari hakisan pada bekas tempat lekatan uri di dinding rahim (desidua) yang dikenali sebagai nifas. Ciri darah dan tempoh pendarahan adalah bergantung kepada saiz uri tersebut.
Dari sudut saintifik, nifas berbeza dengan darah haid yang berasal dari lapisan endometrium. Secara jelas, darah nifas terhasil dari darah yang mengalir keluar disebabkan oleh bercerainya uri dari rahim selepas melahirkan anak. Ia selaras dengan pandangan fuqaha’ mengenai definisi nifas.

Hukum Pendarahan Semasa Hamil dan Air Ketuban
Pendarahan Semasa Hamil (tiada tanda hendak bersalin)
Perdarahan yang berlaku semasa hamil tanpa sebarang tanda untuk bersalin dalam Mazhab Syafii dihukumkan sebagai haid jika mematuhi kriteria tempoh haid. Jika bersalahan dengan kriteria tersebut maka darah itu dihukumkan sebagai istihadah.
Sebahagian ulama pula menetapkan darah yang keluar ketika hamil bukanlah haid dan dihukumkan sebagai istihadah kerana haid tidak berlaku ketika hamil. Pendapat ini bertepatan dengan kajian saintifik iaitu proses haid tidak akan berlaku kerana telah berlakunya persenyawaan dan kehamilan. Pendarahan yang berlaku ketika hamil biasanya disebabkan oleh kemungkinan wanita itu menghadapi masalah keguguran pada peringkat awal kandungan. Selain itu, wanita hamil mungkin mengalami masalah uri seperti uri pecah atau uri berada di bawah pada pertengahan dan akhir mengandung.
Darah Bercampur Lendir
Biasa juga para ibu mengalami darah bercampur lendir keluar dari rahim sebelum melahirkan. Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin. Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung tembuni bayi dari dinding rahim bahagian bawah.
Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim. Darah inilah yang dikatakan sebagai darah fasad (rosak) dari aspek fikah. Oleh kerana ia bukan lagi darah nifas, maka wanita yang mengalaminya wajib menunaikan solat seperti biasa. Dengan perkataan lain, kewajipan solat belum terangkat dari wanita tersebut.
Air Ketuban
Keluarnya air ketuban juga merupakan tanda awal proses kelahiran bayi. Air ini keluar dari sarung tembuni bayi yang pecah ketika proses kontraksi rahim. Pada asalnya, air ketuban bertindak sebagai kusyen yang melindungi bayi. Subhanallah. Maha suci Allah yang memelihara janin dalam kandungan.

فَجَعَلْنَاهُ فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ

Lalu Kami jadikan air (air mani/zigot) itu pada tempat menetap yang kukuh (yakni rahim).
Surah al-Mursalat 77:21

Demikian hebat kurniaan Allah. Masihkah kita sanggup mendustakan nikmatNya dan membalasnya dengan maksiat?

فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kamu dustakan?
Ayat 13 Surah al-Rahman.
Apabila ia mengalir keluar, air ketuban membantu melicinkan proses kelahiran. Allahuakbar! Maha agung Engkau ya Allah yang tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.
Hukum air ketuban adalah najis. Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwuduk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering.
Cara Menunaikan Solat Dalam Keadaan Darah dan Air Ketuban Masih Keluar
Cara bersuci ialah bersihkan terlebih dahulu darah atau air ketuban dari faraj. Kemudian pakai tuala wanita, mengambil wuduk dan terus solat. Jika darah keluar dengan banyak diiringi rasa sakit berterusan, diharuskan solat jamak.
Sambung travelog…
Tiba di Machang, suami sudah letih untuk membawa kereta. Saya mengambil alih memandu. Tiba-tiba saya perlahankan kereta dan berhenti di sisi jalan. Suami berkata, ”Kenapa berhenti?”
”Perut rasa sakit sedikit”. Hilang rasa sakit, saya sambung perjalanan hingga ke Kota Bharu. Alhamdulillah.
Tanggal 31 Ogos 1999, Ma memasak pulut durian kegemaran saya. Saya rasa sakit makin kuat. Suami memeriksa lagi. Bukaan 4cm. Tiba masanya pergi ke hospital. Oleh kerana menjadi pantang larang orang tua-tua tidak boleh makan pulut sepanjang tempoh berpantang. Saya jamah juga pulut durian. Sambil makan, saya menahan sakit. Ma menggalakkan saya makan sampai puas. Alhamdulillah, ’sporting’ betul. Ma berkata, ”Itu sakit main-main je… Belum sakit betul-betul”. Saya kurang faham maksud ’sakit betul-betul’ yang Ma sebut. Maklumlah ini kali pertama saya akan bersalin.
Kira-kira jam 12 tengahari, saya tiba di Hospital Kota Bharu dan terus di bawa ke bilik bersalin. Betullah, sebaik saya berada di atas katil, sakit yang lebih kuat mula terasa. Ya Allah… beginikah sakitnya melahirkan seorang anak. Melalui jam seterusnya, baru saya mengerti apa yang Ma maksudkan ’sakit betul-betul’. Tidak terperi rasanya dan rasa takut yang amat sangat.
Mengenangkan rasa sakit bersalin, hati lebih menghayati hikmah disuruh taat pada kedua ibubapa. Rasa sedih pula menyelinap mengenangkan anak-anak yang menyia-nyiakan hidup mereka dengan pelbagai perkara yang merosakkan diri sendiri. Tidakkah mereka mahu bersyukur kepada Allah yang mengeluarkan mereka dari rahim ibu?
Mata membilang detik jam di dinding. Bilakah saat ini akan berakhir? Tiada yang mampu memberi kekuatan selain Allah. Saya takut… di saat menulis ini pun, saya merasa takut mengenangkan sakit bersalin. Azan Zohor melewati waktu, saya mengingatkan suami untuk solat Zohor dahulu. Namun dia mahu menunggu sehingga saya selamat melahirkan. Suami mengagak dia akan sempat solat Zohor nanti.
Kira-kira jam 3.08 petang, saya selamat melahirkan cahaya mata pertama kami berdua. Alhamdulillah. Rasa takut dan sakit sekelip mata bertukar gembira melihat bayi di sisi. Masya Allah! Sakit di dunia masih ada penawarnya. Sakit dan azab di akhirat, tiada lagi yang dapat menyelamatkan.
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Ayat 5 Surah al-Syarh.
Wajar sekali dikatakan wanita yang bersalin ibarat bayi yang baru dilahirkan. Dosa-dosa berguguran seiring lahirnya bayi dalam kandungan. Bukankah kesakitan itu penghapus dosa?
Solat Zohor yang saya terluput itu telah saya qada selepas habis nifas. Inilah kaedah penyelesaian bagi wanita yang pernah meninggalkan solat semasa sakit hendak bersalin. Namun, setelah mengetahui hukum dan kaedahnya seperti yang saya tulis dalam entry sebelum ini, wajib menunaikan solat dalam waktunya menurut kemampuan. Jika mampu solat duduk, maka hendaklah solat duduk. Jika tidak mampu, solat berbaring.
Sebaik selesai mengazankan anak sulung kami, suami bergegas menunaikan solat.
Ada peristiwa lucu pada hari tersebut yang mana Ibrahim Ali pernah menyebut untuk Solat Hajat selepas Solat Asar petang 31 Ogos itu. Hajat apa yang mahu diminta tidak pula saya ingat. Sebenarnya tiada solat sunat selepas Solat Asar. Inilah penyakit orang jahil, mahu berjuang namun ilmu asas tentang Islam sendiri pun tidak diketahui.
Nota: Sebahagian isi mengenai Darah Semasa Hamil, Nifas dan Air Ketuban adalah dari buku Fikah Perubatan yang disediakan oleh Dr Rosediani Muhamad, Pakar Perubatan Keluarga, USMKK.
Ummu Abbas
9.20pm
21 Zul Qi’dah 1430H

No comments:

Post a Comment