Wednesday, 25 August 2010

Haid ketika 10 hari terakhir Ramadhan

Assalamualaikum wbt,

Satu artikel yang dapat menenangkan kegusaran hati wanita yg begitu ingin bertemu Lailatul Qadr.


SERAHKAN KEYAKINAN KEPADA TUHANMU
DICATAT OLEH NORASLINA BINTI JUSIN 25 AUGUST 2010 DI 1:22:00 PM 3 COMMENTS
Telah beberapa kali saya meninjau ke luar tingkap, namun kelibat suami masih juga belum terlihat. Sesekali angin dingin musim sejuk di penempatan Hayyu at Tibba’ itu datang menyapa.

Tidak mahu berlama-lama dengan kedinginan yang menggigit, saya kembali menutup daun tingkap, lantas duduk bertimpuh di sofa arab melihat kak long dan kak ngah bermain. Hati yang risau bagaikan terubat melihat telatah dua anak kecil saya bergembira bersama.

Menatap wajah mulus kedua-duanya, jiwa diselubungi sayu dan hiba. Mereka bakal saya tinggalkan untuk tempoh lebih dua minggu andai perancangan untuk menunaikan haji tahun ini berjalan lancar. Tanpa apa-apa halangan, dengan izin-NYA.

Semua urusan telah diuruskan. Permohonan visa telah pun diluluskan. Persiapan pakaian dan kelengkapan yang perlu dibawa juga telah saya bereskan. Adik-adik akhawat yang tinggal berdekatan juga telah menyatakan kesediaan untuk anak-anak yang ditinggalkan.

Cuma perkara yang satu ini sahaja, menghadirkan resah dan gelisah.

“Ya ALLAH, moga ada jalan keluarnya untuk masalahku ini,” saya memanjatkan pengharapan.


EMEL TENTANG HAID
Hari ini, telah masuk hari kelima belas Ramadan 1431 hijriah. Bermakna, separuh bulan yang berkat ini berlalu sudah.

Seperti hari-hari sebelumnya, selepas menunaikan solat sunat dhuha dan mentadabbur lembaran kitab suci al Quran, saya membuka komputer untuk membaca berita-berita semasa tanahair secara atas talian, menjenguk blog, membaca emel dan tidak ketinggalan, membuka laman fb.

Dari kotak pesanan fb, satu pertanyaan daripada salah seorang kenalan menarik perhatian saya pagi ini. Persoalan itu berbunyi :

“….maafkan saya, ingin bertanya kepada Kak Ina. Saya ada kemusykilan berkaitan wanita yang dalam keadaan haid semasa malam 10 terakhir Ramadan. Bagaimanakah mereka dapat merebut pahala sama seperti orang-orang yang dapat beribadat semaksima mungkin semasa itu?

Wanita yang dalam keadaan haid, mereka tidak dapat membaca al Quran, tidak berpeluang utk qiamullail, juga tidak boleh beriktikaf di masjid, solat terawikh dan bermacam ibadah yang tidak boleh dilakukan semasa haid.


Selain berzikir dan mendengar bacaan ayat-ayat suci al Quran, apakah ibadah lain lagi yang boleh mereka lakukan? Adakah pahala mereka juga sama dengan orang-orang yang dapat beribadah semasa itu? Sudah pasti wanita-wanita dalam keadaan haid ini akan merasa rugi jika tidak dapat beribadah sebanyak mungkin ketika 10 malam terakhir Ramadhan ini, kerana pahala ibadah semasa ini amat berganda..

Saya memohon jasa baik Kak Ina untuk meleraikan kemusykilan saya ini.

Sekian terima kasih.”

Saat membaca persoalan yang diutarakan di atas, kenangan menunaikan haji 7 tahun yang lalu kembali terbayang pantas.


PANJATKAN DOA
“Abang dah jumpa doktor di klinik universiti tadi…” luah suami sebaik duduk melepaskan lelah. Kata-katanya terhenti seketika. Air kosong dari gelas yang tersedia di hadapannya diminum untuk menghilangkan dahaga. Kakinya dilunjurkan ke depan. Terpancar riak keletihan pada wajah suami kerana perjalanan yang agak jauh dari universiti. Hampir 15 minit, berjalan kaki.

“Alhamdulillah. Apa dia jawab bang? Dapat tak ubat tu?” saya bertanya, sedikit mendesak. Tidak sabar untuk mengetahui jawapan balas doktor tersebut terhadap permasalahan saya ini.

“Dia nasihatkan, tak perlu makan ubat tahan haid tu,” jawab suami ringkas. Saya mengerutkan dahi.

“Habis, macam mana kalau masa haji nanti As datang haid…” saya meluahkan kerisauan yang sejak tadi bersarang di dalam hati.

Terasa amat gundah diri ini saat membilang hari, mengenangkan tempoh haji nanti sangat bertepatan dengan tarikh kitaran haid saya.

Suami tidak segera menjawab. Pandangannya dilepaskan keluar tingkap. Beberapa ketika, kami diam tanpa kata. Hanya melayan resah yang melanda jiwa.

“Macam mana bang?” saya bertanya sekali lagi memecah sunyi. Suami menoleh.

“Kita berdoa sahaja kepada ALLAH. Mudah-mudahan permohonan kita diterima oleh-NYA,” balas suami lembut.

“Itu juga nasihat doktor pada abang tadi. Dia kata, ubat-ubat menahan haid seumpama itu ada kesan sampingannya. Lagipun, rawatan sebegini bukan 100% berkesan. Pendarahan boleh berlaku pada ketika ubat itu diambil. Jadi, dia nasihatkan, langkah terbaik, berdoa dan yakinlah dengan pertolongan ALLAH,” suami menambah.

Saya terus diam tanpa sepatah kata. Hanya jiwa tidak putus berdoa. Seluruh raga diserahkan bulat-bulat mengharap bantuan Yang Maha Kuasa.


PANDANGAN ULAMA
Berkat doa dan pengharapan yang tidak putus kepada ALLAH SWT, saya diizinkan juga oleh-NYA untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu. Cukup semua rukun haji saya kerjakan, darah haid keluar seperti biasa. Hanya, tawaf wada’ sahaja tidak dapat saya tunaikan sebelum melangkah pulang meninggalkan Makkah.

Alhamdulillah!

Saya memahami, setiap Muslimah yang beriman dan mengharapkan keredaan ILAHI amat mendambakan agar dirinya berterusan dalam keadaan suci untuk melipatgandakan ibadah di bulan yang mulia ini terutama pada sepuluh malam yang terakhir.

Kerana itu, ada sebahagian mereka yang sanggup mengambil ubat untuk menahan haid dari keluar. Mereka melakukan tindakan itu, agar dapat melaksanakan puasa dengan sempurna dan demi memastikan ganjaran dan pahala yang berlipat ganda itu dapat mereka raih sebanyaknya.

Saya tidak menafikan, wanita juga punya keinginan untuk menikmati keberkatan lailatul qadar di sepuluh hari terakhir bulan ramadhan sehingga ramai di kalangan mereka yang menggunakan ubat-ubatan tersebut untuk menghalang dari datang bulan.

Terdapat beberapa pandangan ulama silam dan kontemporari dalam membahaskan permasalahan ini. Di antaranya ialah pandangan Imam Ahmad sebagaimana dinyatakan oleh Ibnu Qudamah rahimahullah :

رُوِيَ عَنْ أَحْمَدَ رَحِمَهُ اللَّهُ ، أَنَّهُ قَالَ : لَا بَأْسَ أَنْ تَشْرَبَ الْمَرْأَةُ دَوَاءً يَقْطَعُ عَنْهَا الْحَيْضَ ، إذَا كَانَ دَوَاءً مَعْرُوفًا

Maksudnya : Diriwayatkan dari Imam Ahmad rahimahullah, beliau berkata, “Tidak mengapa seorang wanita mengkonsumsi ubat-ubatan untuk menghalangi haid, asalkan ubat tersebut baik (tidak membawa kesan negatif).” [ Al Mughni, 1/450, terbitan Dar ‘Alam Kutub.]

Dr Yusof al-Qardhawi juga memfatwakan keharusan pengambilan ubat untuk menangguhkan kedatangan haid ini dengan alasan, tiada dalil yang melarangnya. Dan, ia dibenarkan selama mana ubat tersebut tidak mendatangkan kesan sampingan yang memudaratkan.

Beliau menambah, para ulamak mutaakhirin turut membenarkan pengambilan ubat pencegah haid ini. Syeikh Mar'ie di dalam kitabnya Dalil al-Thalib yang bermazhab Hanbali menyatakan, kaum wanita dibenarkan memakan ubat sama ada bertujuan untuk mendatangkan haid atau menghalang pengeluaran biasanya. Beliau menjelaskan di dalam kitab syarahnya, bahawa asal setiap sesuatu itu adalah harus sehingga ada dalil yang mengharamkannya. Dan, di dalam masalah ini ( mengambil ubat untuk haid ) tiada dalil yang mengharamkannya. [Fiqhu Shiyam, halaman 40]

Walaubagaimanapun, Syeikh Muhammad bin Salih Al ‘Utsaimin rahimahullah berpandangan sebaliknya apabila beliau menyatakan :

“Di dalam masalah ini saya berpandangan bahawa hendaklah wanita tersebut tidak melakukan sedemikian. Sebaliknya, hendaklah dia menjalankan ketetapan Allah yang telah digariskan ke atas setiap wanita. Kebiasaan datang haid setiap bulan di sisi ALLAH memiliki hikmah yang amat banyak jika kita mengetahuinya. Hikmah yang dimaksudkan adalah bahawa kebiasaan datang haid ini termasuk rutin yang normal, di mana haid ini terjadi bertujuan mencegah wanita dari pelbagai bahaya yang dapat memudaratkan dirinya. Para pakar kesihatan telah menjelaskan kesan negatif dari penggunaan ubat seumpama itu, bahkan Nabi SAW juga telah bersabda:

“Laa dharara wa laa dhiraar ( tidak ada bahaya dalam syari’at ini dan tidak boleh mendatangkan bahaya tanpa alasan yang benar.)” [Sumber: Fatwa Al Islam Soal wa Jawab no. 7416, http://islamqa.com/ar/ref/7416/]


TERIMALAH KETETAPAN-NYA
Demikian juga pandangan saya sendiri. Dalam menangani persoalan yang ditanya di atas, saya suka menasihatkan para Muslimah agar berlapang dada menerima ketetapan-NYA. Antara ciri wanita yang beriman dan solehah ialah reda dan sabar dengan setiap aturan yang telah disusun oleh ALLAH SWT. Ia merupakan satu ibadah kerana kepatuhan dengan hati yang tidak berbelah bahagi dalam menerima ketetapan ILAHI juga adalah satu ketaatan yang menyediakan ganjaran yang tidak kalah berbanding mereka yang dapat melaksanakan puasa di bulan mulia ini.

Banyak lagi kebaikan yang boleh dilaksanakan sebagai ganti dari ibadah puasa, solat dan lain-lain yang tidak dapat dikerjakan kerana haid, seperti :

memperbanyak berzikir dengan bacaan tasbih (subhanallah), tahlil (laa ilaha illallah), tahmid (alhamdulillah) dan zikir lainnya
memperbanyak istighfar
melipatgandakan doa
memperhebat sedekah
membantu menyediakan juadah berbuka
menolong kerja-kerja yang agak berat agar orang-orang lain yang berpuasa dapat berehat
dan lain-lain lagi kebaikan dan kebajikan yang semuanya ada nilaiannya di sisi ALLAH.

Justeru itu, Dr Yusuf al Qaradawi menyatakan di dalam fatwanya, adalah lebih baik untuk para wanita mencontohi muslimat mukminat di zaman salafus soleh yang pasrah terhadap fitrah yang dikurniakan ALLAH ke atas mereka ( yakni dalam permasalahan haid ). Mereka berpuasa dan berbuka apabila datang haid dan tidak pernah menyusahkan diri mereka supaya dapat berpuasa sebulan penuh (dengan menghalangi datangnya haid ).

Setiap ketetapan ALLAH pasti ada hikmah yang luar biasa di sebalik semua itu sebagaimana pujukan baginda Rasul SAW tatkala melihat tangisan isteri yang dikasihi, Sayyidatina ‘Aisyah r.a.


KISAH ‘AISYAH
Suatu masa, ‘Aisyah didatangi haid sebelum memasuki kota Makkah. Ketika itu, beliau sedang menemani Nabi SAW mengerjakan haji wada’. Apabila beliau mendapati keadaannya itu, dia menitiskan air mata. Lantas, Nabi SAW bertanya:

“Apa yang membuat dirimu menangis?”

“Demi Allah, pada tahun ini aku tidak boleh melaksanakan haji,” jawab ‘Aisyah dalam sendu sedan menyelubungi diri.

“Barangkali dikau mengalami haid?”baginda bertanya lagi.

“Benar,” ‘balas ‘Aisyah ringkas.

Lalu, Rasulullah SAW bersabda :

فَإِنَّ ذَلِكَ شَىْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ ، فَافْعَلِى مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِى بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِى

Maksudnya : “Yang demikian itu adalah perkara yang sudah Allah tetapkan buat anak-anak perempuan dari keturunan Adam. Maka lakukanlah apa yang dilakukan orang yang berhaji kecuali tawaf di Ka’bah hingga kamu suci.” ( Hadis riwayat Bukhari no. 305 dan Muslim no. 1211 )


SERAHKAN KEYAKINAN KEPADA TUHANMU
Akhirnya, saya ingin membawa satu petikan video di bawah ini yang cukup membuka jiwa. Walaupun ia tidak begitu kena mengena dengan permasalahan haid wanita dan kegusaran mereka mengenainya di bulan mulia ini, tetapi kandungannya amat bermanfaat bagi memahamkan kita tentang apa itu rasa thiqqah ( yakin dan percaya ) serta baik sangka kepada ALLAH SWT.



Setiap peraturan dan ketetapan ALLAH SWT yang bentuknya pelbagai, berupa fitrah kejadian, ibadah, larangan, kesenangan, kesusahan dan lain-lain yang berlaku di dalam hidup kita adalah merupakan ujian bagi menilai keimanan.

Insafilah, tiada yang sia-sia dari-NYA.

Untuk itu, serahkanlah keyakinan kepada ALLAH SWT, pasti DIA membalas keyakinan itu dengan rahmat, berkat dan ganjaran yang melimpah ruah dari sisi-NYA, TUHAN Yang Maha Pemurah.

Moga beroleh manfaat.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

Jumpa lagi, InsyaALLAH.

p/s : Untuk maklumat mengenai ubat pencegah haid dan kesannya, boleh baca di sini. Dan juga, hukum membaca al Quran ketika haid di sini.

Hukum Membaca Al-Qur’an Bagi Orang Junub, Wanita Haid Dan Nifas

DIkirim oleh mohd masri di Mac 25, 2009




HUKUM MEMBACA AL-QUR’AN BAGI ORANG JUNUB, WANITA HAID DAN NIFAS

Oleh
Al-Ustadz Abdul Hakim bin Amir Abdat

“Ertinya : Dari Ibnu Umar, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam beliau bersabda, “Janganlah perempuan yang haid dan orang yang junub membaca sedikit pun juga dari (ayat) Al-Qur’an.”

Dalam riwayat yang lain, “Janganlah orang yang junub dan perempuan yang haid membaca sedikit pun juga dari (ayat) Al-Qur’an”

DHAIF Dikeluarkan oleh Tirmidzi (no. 121). Ibnu Majah (no. 595 dan 596). Ad-Daruquthni (1/117) dan Baihaqiy (1/89), dari jalan Ismail bin Ayyaasy dari Musa bin Uqbah dari Naafi, dari Ibnu Umar (dia berkata seperti di atas)

Berkata Imam Bukhari, “Ismail (bin Ayyaasy) munkarul hadits (apabila dia meriwayatkan hadits) daripada penduduk Hijaz dan penduduk Iraq” [1]

Saya berkata : Hadits di atas telah diriwayatkan oleh Ismail bin Ayyaasy dari Musa bin Uqbah seorang penduduk Iraq. Dengan demikian riwayat Ismail bin Ayyaasy dhaif.

Imam Az-Zaila’i di kitabnya Nashbur Raayah (I/195) menukil keterangan Imam Ibnu Adiy di kitabnya Al-Kaamil bahawa Ahmad dan Bukhari dan lain-lain telah melemahkan hadits ini dan Abu Hatim menyatakan bahawa yang benar hadits ini mauquf kepada Ibnu Umar (yakni yang benar bukan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam akan tetapi hanya perkataan Ibnu Umar).

Berkata Al-Hafidzh Ibnu Hajar di kitabnya Talkhisul Habir (1/138) : Di dalam sanadnya ada Ismail bin Ayyaasy, sedangkan riwayatnya dari penduduk Hijaz dhaif dan di antaranya (hadits) ini. Berkata Ibnu Abi Hatim daripada bapanya (Abu Hatim), “Hadits Ismail bin Ayyaasy ini keliru, dan (yang benar) dia hanya perkataan Ibnu Umar”. Dan telah berkata Abdullah bin Ahmad dari bapanya (yaitu Imam Ahmad dia berkata), “(Hadits) ini bathil, “Beliau mengingkari (riwayat) Ismail. Sekian daripada Al-Hafidz Ibnu Hajar.

Hadits yang lain daripada jalan Ibnu Umar

“Ertinya : Daripada jalan Abdul Malik bin Maslamah (dia berkata) Telah menceritakan kepadaku Mughirah bin Abdurrahman, daripada Musa bin Uqbah dan Naafi, daripada Ibnu Umar, dia berkata : Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Tidak boleh bagi orang junub membaca sedikitpun juga daripada (ayat) Al-Qur’an”

DHAIF. Diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni (1/117)

Al-Hafidz Ibnu Hajar telah melemahkan riwayat di atas disebabkan Abdul Malik bin Maslamah seorang rawi yang dhaif (Talkhisul Habir 1/138)

Hadits yang lain daripada jalan Ibnu Umar.

“Ertinya : Daripada seorang lelaki, dari Abu Ma’syar, dari Musa bin Uqbah, dari Naafi, dari Ibnu Umar, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam beliau bersabda, “Perempuan yang haid dan orang yang junub, keduanya tidak boleh membaca sedikitpun juga dari (ayat) Al-Qur’an”

DHAIF. Diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni (1/117)

Saya berkata : Riwayat ini dhaif kerana : Pertama : Ada seorang rawi yang mubham (tidak disebut namanya yaitu dari seorang lelaki). Kedua : Abu Ma’syar seorang rawi yang dhaif.

Hadits yang lain dari jalan Jabir bin Abdullah.

“Ertinya : Dari jalan Muhammad bin Fadl, dari bapanya, dari Thawus, dari Jabir, dia berkata : Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Tidak boleh bagi perempuan yang haid dan nifas (dalam riwayat yang lain : Orang yang junub) membaca (ayat) Al-Qur’an sedikitpun juga (dalam riwayat) yang lain : Sedikitpun juga dari (ayat) Al-Qur’an)”

MAUDHU’, Diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni (2/87) dan Abu Nua’im di kitabnya Al-Hilyah (4/22).

Saya berkata : Sanad hadits ini maudhu (palsu) kerana Muhammad bin Fadl bin Athiyah bin Umar telah dikatakan oleh para Imam ahli hadits sebagai pendusta sebagaimana keterangan Al-Hafidz Ibnu Hajar di Taqrib-nya (2/200). Dan di kitabnya Talkhisul Habir (1/138) beliau mengatakan bahawa orang ini matruk.

Ketika hadits-hadits diatas dari semua jalannya dhaif bahkan hadits terakhir maudhu’, maka tidak boleh dijadikan sebagai dalil larangan bagi perempuan haid dan nifas dan orang yang junub membaca Al-Qur’an. Bahkan telah datang sejumlah dalil yang membolehkannya.

Pertama : Apabila tidak ada satu pun dalil yang sah (shahih dan hasan) yang melarang perempuan haid, nifas dan orang yang junub membaca ayat-ayat Al-Qur’an, maka hukumnya dikembalikan kepada hukum asal tentang perintah dan keutamaan membaca Al-Qur’an secara mutlak termasuk perempuan haid, nifas dan orang yang junub.

Kedua : Hadits Aisyah ketika dia haid sewaktu menunaikan ibadah haji.

“Ertinya : Dari Aisyah, dia berkata : Kami keluar (menunaikan haji) bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam (dan) kami tidak menyebut kecuali haji. Maka ketika kami sampai di (satu tempat bernama) Sarif aku haid. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam masuk menemuiku dan aku sedang menangis, lalu beliau bertanya, “Apa yang menyebabkanmu menangis?” Jawabku, “Aku ingin demi Allah kalau sekiranya aku tidak haji pada tahun ini?” Jawabku, “Ya” Beliau bersabda, “Sesungguhnya (haid) ini adalah sesuatu yang telah Allah tentukan untuk anak-anak perempuan Adam, oleh kerana itu kerjakanlah apa-apa yang dikerjakan oleh orang yang sedang haji selain engkau tidak boleh thawaf di Ka’bah sampai engkau suci (dari haid)”

Shahih riwayat Bukhari (no. 305) dan Muslim (4/30)

Hadits yang mulia ini dijadikan dalil oleh para Ulama di antaranya amirul mu’minin fil hadits Al-Imam Al-Bukhari di kitab Shahih-nya bahagian Kitabul Haid bab 7 dan Imam Ibnu Baththaal, Imam Ath-Thabari, Imam Ibnul Mundzir dan lain-lain bahawa perempuan haid, nifas dan orang yang junub boleh membaca Al-Qur’an dan tidak terlarang. Berdasarkan perintah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam kepada Aisyah untuk mengerjakan apa-apa yang dikerjakan oleh orang yang sedang menunaikan ibadah haji selain thawaf dan tentunya juga terlarang shalat. Sedangkan yang selainnya boleh termasuk membaca Al-Qur’an. Kerana kalau membaca Al-Qur’an terlarang bagi perempuan haid tentu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah menjelaskannya kepada Aisyah. Sedangkan Aisyah saat itu sangat memerlukan penjelasan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam apa yang boleh dan terlarang baginya. Menurut ushul “mengakhirkan keterangan dari waktu yang diperlukan tidak boleh.

Ketiga : Hadits Aisyah.

“Ertinya : Dari Aisyah, dia berkata, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa berdzikir atas segala keadaannya” [Hadits shahih riwayat Muslim (1/194 dan lain-lain]

Hadits yang mulia ini juga dijadikan hujjah oleh Al-Imam Al-Bukhari dan lain-lain imam tentang bolehnya orang yang junub dan perempuan haid atau nifas membaca Al-Qur’an. Kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam berdzikir kepada Allah atas segala keadaannya dan yang termasuk berdzikir ialah membaca Al-Qur’an. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala.

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Adz-Dzikra [2] (Al-Qur’an) ini, dan sesungguhnya Kami jugalah yang akan (tetap) menjaganya” [Al-Hijr : 9]

“Dan Kami turunkan kepadamu Adz-Dzikra (Al-Qur’an) supaya engkau jelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka dan agar supaya mereka berfikir” [An-Nahl : 44]

Keempat : Surat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam kepada Heracleus yang di dalamnya berisi ayat Al-Qur’an sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan lain-lain. Hadits yang mulia inipun dijadikan dalil tentang bolehnya orang yang junub membaca Al-Qur’an. Kerana sudah barang tentu orang-orang kafir tidak selamat dari janabah, meskipun demikian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam menulis surat kepada mereka yang didalamnya terdapat firman Allah.

Kelima : Ibnu Abbas mengatakan tidak mengapa bagi orang yang junub membaca Al-Qur’an (Shahih al-Bukhari Kitabul Haidh bab 7).

Jika engkau berkata : Bukankah telah datang hadits bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak membaca Al-Qur’an ketika janabah?

Saya jawab : Hadits yang dimaksud tidak sah dari hadits Ali bin Abi Thalib dengan lafadz.

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam keluar dari tempat buang air , lalu beliau makan daging bersama kami, dan tidak ada yang menghalangi beliau sesuatupun juga dari (membaca) Al-Qur’an selain janabah:

DHAIF. Diriwayatkan oleh Abu Dawud (no. 229), Tirmidzi (no 164), Nasa’i (1/144), Ibnu Majah (no. 594), Ahmad (1/83, 84, 107 dan 124), Ath-Thayaalis di Musnad-nya (no. 94), Ibnu Khuzaimah di Shahih-nya (no. 208), Daruquthni (1/119), Hakim (1/152 dan 4/107) dan Baihaqiy (1/88-89) semuanya dari jalan Amr bin Murrah dari Abdullah bin Salimah dari Ali, marfu (Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa salam berbeza seperti diatas)

Hadits ini telah dishahihkan oleh Tirmidzi, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Hakim, Adz-Dzahabi, Ibnu Sakan, Abdul Haq, Al-Baghawiy dan Syaikhul Imam Ahmad Muhammad Syakir di takhrij Tirmidzi dan takhrij musnad Ahmad.

Dan hadits ini telah didlaifkan oleh jama’ah ahli hadits –dan inilah yang benar- Insya Allah di antaranya oleh Syu’bah, Syafi’iy, Ahmad, Bukhari, Baihaqiy, Al-Mundziriy, An-Nawawi, Al-Khathaabiy dan Syaikhul Imam Al-Albani dan lain-lain.

Berkata Asy-Syafi’iy, “Ahli hadits tidak mentsabitkan (menguatkan)nya”. Yakni, ahli hadits tidak menguatkan riwayat Abdullah bin Salimah. Kerana Amr bin Murrah yang meriwayatkan hadits ini Abdullah bin Salimah sesudah Abdullah bin Salimah tua dan berubah hafalannya. Demikian telah diterangkan oleh para Imam di atas. Oleh kerana itu hadits ini kalau kita mengikuti kaedah-kaedah ilmu hadits, maka tidak ragu lagi tentang dhaifnya dengan sebab di atas yaitu Abdullah bin Salimah ketika meriwayatkan hadits ini telah tua dan berubah hafalannya. Maka bagaimana mungkin hadits ini sah (shahih atau hasan)!. Selain itu hadits ini juga tidak boleh dijadikan dalil larangan bagi orang yang junub dan perempuan yang haid atau nifas membaca Al-Qur’an, kerana semata-mata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam tidak membacanya dalam junub tidak bererti beliau melarangnya sampai datang larangan yang tegas dari beliau. Ini kalau kita takdirkan hadits di atas sah, apalagi hadits di atas dhaif tentunya lebih tidak mungkin lagi dijadikan sebagai hujjah atau dalil!

Meskipun demikian menyebut nama Allah atau membaca Al-Qur’am dalam keadaan suci (berwudlu) lebih utama yakni hukumnya sunat berdasarkan hadits shahih di bawah ini.

“Ertinya : Dari Muhaajir bin Qunfudz, sesungguhnya dia pernah datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan beliau sedang buang air kecil (kencing), lalu ia memberi salam kepada beliau akan tetapi beliau tidak menjawab (salam)nya sampai beliau berwudlu. Kemudian beliau beralasan dan bersabda : ”Sesungguhnya aku tidak suka menyebut nama Allah (berdzikir) kecuali dalam keadaan suci (berwudlu)” [Hadits shahih riwayat Abu Dawud dan lain-lain]

[Disalin dari buku Tiga Hukum Bagi Perempuan Haid Dan Junub (Menyentuh/Memegang Al-Qur; Membacanya Dan Tinggal Atau Diam Di Masjid, Penulis Abdul Hakim bin Amir Abdat, Penerbit Darul Qolam]
_________
Footnotes
[1]. Saya nukil dari Baihaqiy dengan ringkas yang menukil dari Bukhari
[2]. Adz-Dzikra adalah salah satu nama dari nama-nama Al-Qur’an



http://www.almanhaj.or.id/content/2419/slash/0

No comments:

Post a Comment